Beberapa tahun yang lalu, pejabat saya terletak di Boston, Amerika Syarikat yang menghadap ke Tanah Perkuburan Granary, tempat perkuburan bagi ramai pahlawan Amerika yang terkenal. Antaranya ialah John Hancock dan Samuel Adams, dua penanda tangan bagi Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat, dan tidak jauh daripada kubur mereka ialah kubur Paul Revere, seorang patriot sewaktu Revolusi Amerika.
Namun tiada sesiapa yang betul-betul tahu tempat perkuburan setiap mayat ini kerana batu peringatan telah banyak kali dipindahkan—kadangkala untuk memperbaiki tanah dan ada kalanya supaya mesin rumput dapat melaluinya. Sesungguhnya Granary mempunyai kira-kira 2,300 batu peringatan, hampir 5,000 individu telah dikuburkan di situ! Sungguhpun dalam kematian, kelihatannya ada sesetengah orang yang tidak dikenali.
Kadangkala kita mungkin berasa seperti “penghuni” di Granary yang tiada batu peringatan, tidak diketahui dan tidak kelihatan. Kesunyian boleh membuat kita berasa seolah-olah kita diabaikan oleh orang lain—dan mungkin juga tidak dilihat oleh Tuhan. Namun kita mesti mengingatkan diri sendiri bahawa walaupun kita berasa kita telah dilupakan oleh Tuhan Pencipta, sebenarnya kita tidak dilupakan. Tuhan bukan sahaja menciptakan kita supaya menjadi seperti Dia (Kejadian 1:26-27), malahan Dia juga menilai setiap kita dan memberikan Anak-Nya untuk menyelamatkan kita (Yohanes 3:16).
Walaupun pada waktu kehidupan kita yang paling gelap, kita boleh bertenang dengan mengetahui bahawa kita bukan keseorangan kerana Tuhan pengasih menyertai kita.