Apabila bapa saya menjadi Kristian pada umur yang lanjut, dia mengagumkan saya dengan rancangannya untuk mengatasi cubaan. Kadangkala dia terus meninggalkannya! Sebagai contoh, apabila dia mempunyai percanggahan pendapat dengan jirannya dan akhirnya mereka mula bergaduh, bapa saya terus meninggalkan tempat itu untuk sementara supaya tidak dicubai untuk meneruskan pergaduhan itu.

Pada suatu hari, dia menemui sekumpulan kawan yang memesan pito (sejenis minuman keras buatan tempatan). Bapa saya bergelut dengan alkohol sebelum itu dan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan tabiat ini. Jadi dia terus berdiri, mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan lamanya dan berjumpa mereka pada hari yang lain.

Dalam kitab Kejadian, kita membaca tentang godaan isteri Potifar terhadap Yusuf. Dengan segera Yusuf menyedari bahawa jika dia menyerah kepada godaan itu, dia akan “berdosa terhadap Allah,” maka dia lari ke luar (Kejadian 39:9-12).

Cubaan sering mengetuk pintu kita. Kadangkala ia datang daripada keinginan kita, kadangkala ia datang melalui keadaan dan orang yang kita temui. Seperti Paulus berkata kepada jemaah di Korintus, “Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang.” Dia juga menulis, “Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya” (1 Korintus 10:13).

“Jalan keluar” mungkin termasuklah menyingkirkan objek-objek cubaan atau melarikan diri daripada cubaan-cubaan. Tindakan yang paling baik yang kita boleh ambil adalah berpaling daripadanya.