Mazmur 100 adalah seperti suatu karya seni yang menolong kita merayakan Tuhan kita yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Walaupun fokus penyembahan kita itu tidak kelihatan, umat-Nya membuat Dia dikenali.
Bayangkan si karyawan memegang berus dan palet warna sambil melakarkan kata-kata yang berwarna-warni dari mazmur ini pada sebuah kanvas. Apa yang muncul depan mata kita adalah sebuah dunia—Seluruh bumi bersorak untuk Tuhan (ayat 1). Kegembiraan. Kita bersorak kegembiraan kerana menebus kita daripada kematian membawa sukacita bagi Tuhan kita. “ … kerana kegembiraan yang menantikan-Nya,” Yesus tabah menanggung penderitaan dengan mati pada kayu salib (Ibrani 12:2).
Apabila pandangan kita terletak pada kanvas itu, kita melihat koir dari seluruh dunia bernyanyi “dengan sukacita” dan “lagu-lagu gembira” (Mazmur 100:2). Bapa kita yang di syurga berkenan apabila umat-Nya menyembah Dia kerana diri-Nya dan segala karya-Nya.
Kemudian kita melihat imej diri kita sendiri, yang dibentuk daripada debu dalam tangan Pencipta, dan kita adalah kepunyaan-Nya dan umat yang dipelihara-Nya (ayat 3). Kita, umat-Nya, mempunyai Gembala yang Maha Pengasih.
Akhirnya, kita melihat halaman Rumah Tuhan yang penuh dengan kemuliaan—umat Tuhan yang sudah diselamatkan masuk ke hadirat-Nya melalui pintu gerbang-Nya sambil memuji serta bersyukur kepada-Nya (ayat 4).
Alangkah indahnya gambaran itu, yang diilhamkan oleh Tuhan kita. Tuhan kita yang sangat baik, penuh dengan kasih serta taat setia. Sebab itulah kita akan menikmati kebesaran-Nya selama-lamanya!