Pada tahun 1878, apabila seorang dari Scotland, Alexander Mackay, tiba di Uganda sebagai penginjil, dia terlebih dahulu mendirikan sebuah tempat pertukangan besi di kalangan suku kaum yang diperintah oleh Raja Mutesa. Penduduk kampung mula berkumpul di sekeliling orang asing ini yang bertukang dengan tangannya, mereka berasa bingung kerana semua orang “tahu” bahawa kerja sebegitu sepatutnya dilakukan oleh wanita. Pada masa itu, para lelaki di Uganda tidak pernah bekerja dengan tangan mereka. Sebaliknya, mereka menyerang kampung lain untuk menawan hamba, lalu menjual hamba tersebut kepada orang luar. Namun, orang asing ini pula bertukang dengan menghasilkan perkakasan pertanian.
Etika kerja dan kehidupan Mackay menghasilkan perhubungan baik dengan penduduk kampung serta memberi dia satu peluang berjumpa dengan raja. Mackay mencabar Raja Mutesa untuk menghapuskan perdagangan hamba, dan Raja Mutesa pun melakukan demikian.
Dalam Alkitab, kita membaca tentang Bezaleel dan Oholiab, yang dipilih serta dikurniakan oleh Tuhan dengan kemahiran seni untuk membina khemah TUHAN dan semua perlengkapannya (Keluaran 31:1-11). Seperti Mackay, mereka menghormati dan melayani Tuhan dengan bakat serta pekerjaan mereka.
Sering kali kita mengkategorikan kerja kita sebagai pekerjaan gereja atau sekular. Sepatutnya tiada perbezaan seperti ini. Tuhan membentuk kita dengan cara tersendiri, ini membuatkan setiap sumbangan kita kepada kerajaan-Nya adalah unik dan bermakna. Walaupun kita tidak mempunyai banyak pilihan tentang tempat atau cara kita bekerja, Tuhan memanggil kita mengenali-Nya dengan lebih menyeluruh—lalu Dia akan menunjukkan kita cara untuk melayani-Nya—sekarang juga.