Salah satu imej yang paling dikenali ramai di Amerika Syarikat adalah papan tanda “HOLLYWOOD” di selatan California. Orang dari seluruh dunia datang ke “Tinseltown” untuk melihat tapak kaki bintang-bintang filem yang dicetak dalam simen, dan berharap agar dapat melihat kelibat para artis yang mungkin akan lalu di situ. Para pelawat tidak mungkin terlepas melihat papan tanda tersebut yang terpaku di lereng bukit berhampiran.

Satu lagi simbol yang agak mudah untuk dilihat di bukit ini, walaupun ia tidak terkenal, adalah satu simbol yang mempunyai kepentingan kekal. Simbol itu dikenali sebagai Hollywood Pilgrimage Memorial Monument (Tugu Peringatan Penziarah Hollywood), kayu salib setinggi 9.75 meter ini dilihat di seluruh bandar. Kayu salib ini didirikan untuk memperingati Christine Wetherill Stevenson, seorang waris wanita yang sangat kaya dan telah menubuhkan Teater Penziarah (sekarang dikenali sebagai Teater John Anson Ford) pada tahun 1920-an. Tempat ini merupakan lokasi untuk sandiwara The Pilgrimage Play, sebuah drama mengenai Kristus.

Kedua-dua ikon ini mempunyai perbezaan yang menarik. Tayangan filem sama ada bagus atau tidak, akan lenyap. Nilai hiburannya, sumbangan artistik, dan tahap relevannya adalah untuk sementara sahaja.

Sebaliknya, kayu salib pula mengingatkan kita tentang drama yang mempunyai skop kekekalan. Pekerjaan Kristus adalah sebuah cerita mengenai Tuhan yang mengasihi kita, Dia telah datang untuk mencari dan menjemput kita menerima tawaran pengampunan-Nya yang sempurna. Kematian Yesus adalah kemuncak dalam drama dan berakar dalam sejarah. Kebangkitan-Nya telah menguasai maut dan mempunyai pengaruh kekal bagi kita semua. Kayu salib tidak pernah hilang maksud atau kuasanya.