Apabila kita berfikir tentang kameleon, kita mungkin memikirkan tentang kebolehannya untuk bertukar warna badan mengikut keadaan sekeliling. Tetapi cicak ini mempunyai satu lagi ciri menarik. Beberapa kali saya pernah melihat kameleon ini berjalan di atas laluan kecil dan tertanya-tanya bagaimana ia boleh sampai ke tempat tujuannya. Ini kerana kameleon itu melangkahkan satu kaki, kemudian bertukar fikiran dan cuba melangkah sekali lagi, sambil meletakkan kaki seterusnya dengan teragak-agak, seolah-olah takut jikalau tanah di bawahnya akan runtuh. Itu sebabnya saya tergelak apabila seseorang berkata, “Jangan-jangan kita menjadi jemaah gereja kameleon yang berkata, ‘Ok, saya akan pergi ke gereja hari ini; tidaklah, saya akan pergi minggu hadapan; tidak, bagus saya tunggu sekejap!’ ”

“Rumah TUHAN” di Yerusalem ialah tempat penyembahan Raja Daud, dan sememangnya dia bukan seorang penyembah seperti “kameleon.” Sebaliknya, dia bersukacita bersama-sama mereka yang berkata, “Marilah kita pergi ke rumah TUHAN” (Mazmur 122:1). Hal yang sama juga berlaku kepada orang percaya pada zaman awal gereja. “Dengan tekun mereka menerima ajaran daripada rasul-rasul. Mereka hidup bersaudara, makan bersama-sama, dan berdoa bersama-sama … Tiap-tiap hari mereka berkumpul di Rumah Tuhan” (Kisah Rasul-Rasul 2:42,46).

Alangkah bahagianya apabila kita dan saudara saudari lain berkumpul untuk menyembah Tuhan dan bersekutu dengan-Nya. Jika kita berdoa dan menyembah bersama-sama, belajar tentang Alkitab, serta saling mengasihi, ini adalah penting bagi pertumbuhan rohani dan kesatuan orang percaya.