Sewaktu saya berdiri di belakang sebuah bilik di pusat warga tua di Palmer, Alaska, saya sedang mendengar koir dari sekolah menengah anak perempuan saya, Lisa, menyanyikan “Jiwaku Tenanglah” (It Is Well with My Soul), saya tertanya-tanya sebab Lisa selaku ketua koir, telah memilih lagu ini. Ia pernah dimainkan dalam majlis pengebumian adik perempuannya, Melissa, dan Lisa tahu bahawa adalah sukar bagi saya untuk mendengar lagu ini tanpa emosi.

Renungan saya terganggu apabila seorang lelaki mendekati saya dan berkata, “Inilah lagu yang saya ingin dengar.” Saya memperkenalkan diri, kemudian bertanya sebab dia ingin mendengar lagu ini. “Saya kehilangan Cameron, anak lelaki saya pada minggu lepas dalam satu kemalangan motosikal,” dia menjawab.

Wah! Saya terlalu berfokus kepada kesedihan sendiri sehingga tidak mengambil peduli keperluan orang lain, lalu Tuhan menggunakan lagu itu tepat pada masa-Nya. Saya membawa sahabat baru saya, Mac, yang bekerja di pusat tersebut, berdiri di tepi saya dan bercerita tentang penjagaan Tuhan pada saat-saat yang paling sukar dalam kehidupannya.

Di sekeliling kita ada ramai orang yang memerlukan bantuan. Kadangkala kita harus mengetepikan perasaan dan rancangan sendiri demi membantu mereka. Satu cara yang kita mampu lakukan ialah, sentiasa mengingati pertolongan Tuhan pada saat pencubaan dan kesusahan, “supaya dengan pertolongan yang kami terima daripada Allah, kami pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan” (2 Korintus 1:4). Betapa mudahnya untuk menumpukan perhatian kepada kebimbangan sendiri dan melupakan seseorang di sisi kita yang mungkin memerlukan doa, kata-kata penghiburan, pelukan atau belas kasihan dalam nama Yesus.