Seorang gadis kecil tertanya-tanya apa itu orang kudus. Suatu hari ibunya membawa dia ke sebuah gereja besar untuk melihat tingkap-tingkap kaca yang berwarna-warni dan cantik dengan adegan-adegan daripada Alkitab. Apabila dia menyaksikan semua keindahan itu, dia berseru, “Sekarang saya faham apa itu orang kudus. Mereka adalah orang yang membenarkan cahaya bersinar melalui mereka!”

Mungkin ada yang beranggapan bahawa orang kudus adalah orang yang hidup pada zaman purba, hidup dengan kehidupan yang sempurna dan melakukan mukjizat seperti Yesus. Namun dalam Alkitab Terjemahan Baru, penggunaan perkataan kudus sebenarnya merujuk kepada mereka yang menjadi milik Tuhan dengan percaya kepada Kristus. Dengan kata lain, orang kudus adalah manusia yang sama dengan kita, yang menerima panggilan syurgawi untuk melayani Tuhan, di samping mencerminkan hubungan kita dengan Tuhan di mana sahaja kita berada dan dalam apa jua yang kita lakukan. Itulah sebabnya rasul Paulus berdoa agar mata hati dan pemahaman para pembacanya akan terbuka dan mengetahui bahawa mereka ialah harta warisan dan orang kudus Tuhan (Efesus 1:18).

Jadi, apakah yang kita lihat di dalam cermin kemudian? Tiada kilauan cahaya atau kaca tingkap yang berwarna-warni. Namun jika kita menyahut panggilan Tuhan, mungkin tanpa disedari, kita akan menjadi seperti orang yang menyinarkan cahaya Tuhan, cahaya yang mengandungi warna-warna yang kaya dengan saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri.