Di kawasan penempatan orang Yahudi di Yerusalem, terletaknya Rumah Ibadat Tiferet Yisrael. Rumat ibadat ini dibina pada abad ke-19 tetapi diletupkan oleh komando semasa Perang Arab-Israel pada tahun 1948.

Selama bertahun-tahun, tapak itu terbiar dalam keadaan musnah. Kemudian pada tahun 2014, pembinaan semula dimulakan. Apabila para pegawai kota menetapkan sekeping batu runtuhan sebagai batu penjuru, ada orang memetik kata-kata ini: “Ya TUHAN, bawalah kami kembali kepada-Mu; bawalah kami balik kepada-Mu! Pulihkanlah kegemilangan kami seperti dahulu” (Ratapan 5:21).

Kitab Ratapan merupakan lagu tangisan nabi Yeremia terhadap kota Yerusalem. Dengan gambaran yang jelas, nabi menerangkan kesan perang ke atas kotanya. Ayat 21 merupakan doanya yang sungguh-sungguh memohon campur tangan Tuhan, meskipun hal itu mustahil baginya. Dia menyimpulkan lagu penderitaan dengan peringatan yang menakutkan ini: “Adakah Engkau membuang kami sama sekali? Tidak terbataskah kemurkaan-Mu terhadap kami?” (ayat 22). Berpuluh-puluh tahun kemudian, Tuhan menjawab doanya ketika orang buangan kembali ke Yerusalem.

Hidup kita juga seolah-olah berada di dalam reruntuhan. Masalah kita sendiri dan konflik hidup yang tidak dapat dielakkan mungkin akan menyebabkan kita kehilangan harapan. Namun kita mempunyai Bapa yang memahami. Dengan lemah-lembut dan sabar, Dia membersihkan reruntuhan, merancang semula dan membina sesuatu yang lebih baik. Proses ini mengambil masa, tetapi kita sentiasa boleh mempercayai-Nya. Dia mengkhusus dalam projek-projek pembinaan semula.