Adakah anda bergelut untuk mengekalkan kehidupan doa yang konsisten? Kebanyakan orang mempunyai pergelutan yang sama. Kita tahu bahawa doa adalah penting, tetapi ia juga boleh menjadi amat sukar. Kadangkala kita mengalami detik-detik doa yang mendalam dengan Tuhan, kadangkala pula doa seolah-olah menjadi rutin harian yang dilakukan tanpa berfikir. Mengapakah kita begitu bergelut dalam kehidupan doa kita?
Kehidupan iman seumpama maraton. Keadaan yang naik turun dan biasa dalam kehidupan doa kita merupakan gambaran perlumbaan ini. Sebagaimana dalam perlumbaan maraton yang kita perlu terus berlari, kita juga harus terus berdoa. Yang penting, jangan berputus asa!
Ini juga dorongan daripada Tuhan. Rasul Paulus berkata, “berdoalah sentiasa “ (1 Tesalonika 5:17), “bertekunlah dalam doa!” (Roma 12:12, Alkitab TB), dan “berdoa dengan tekun” (Kolose 4:2). Semua kenyataan ini memberitahu kita agar kita teguh dan tekun berdoa.
Kerana Tuhan, Bapa syurgawi telah mengutus Anak-Nya untuk menjadi manusia, maka kita boleh mengambil masa untuk membina hubungan yang rapat dengan Dia, sebagaimana kita membina hubungan yang rapat dengan orang lain. Pastor A. W. Tozer menulis, jika kita belajar untuk berdoa, kehidupan doa kita boleh bertumbuh “daripada tahap yang cetek pada awalnya, sehinggalah ke tahap yang lengkap, kesatuan yang paling rapat dan boleh dirasai oleh jiwa manusia.” Itulah yang kita benar-benar inginkan—berkomunikasi secara mendalam dengan Tuhan. Ini akan berlaku apabila kita tekun berdoa.
