Bob dan Evon Potter merupakan pasangan suami isteri yang ceria dan mempunyai tiga orang anak lelaki muda apabila hidup mereka mengalami perubahan yang indah. Pada tahun 1956, mereka menghadiri kempen penginjilan Billy Graham di bandar Oklahoma dan menyerahkan hidup mereka kepada Kristus. Tidak lama selepas itu, mereka mahu memberitakan iman mereka serta kebenaran Kristus kepada orang lain. Oleh itu, mereka membuka rumah mereka pada setiap malam Sabtu kepada para pelajar sekolah menengah dan universiti yang berminat untuk mempelajari Alkitab. Dengan jemputan seorang kawan, saya turut menjadi pengunjung tetap di rumah mereka.
Pembelajaran Alkitab masa itu adalah bersungguh-sungguh dan mempunyai persediaan pelajaran serta penghafalan ayat. Ketika berkumpul di rumah yang penuh dengan persahabatan, sukacita, dan tawa gembira, kami mencabar sesama sendiri dan Tuhan turut mengubah hidup kami pada waktu itu.
Setiap tahun saya sentiasa berhubung dengan Bob dan Evon dan menerima banyak kad serta surat daripada Bob yang selalu mengakhiri setiap surat dengan kata-kata ini: “Tidak ada yang lebih menggembirakan aku daripada mendengar bahawa anak-anakku hidup menurut ajaran Allah” (3 Yohanes 1:4). Sebagaimana Yohanes menulis kepada “Gayus, sahabat yang aku kasihi” (ayat 1), demikian juga Bob mendorong semua orang yang dikenalinya agar mereka tetap setia berjalan bersama Tuhan.
Beberapa tahun yang lalu, saya telah menghadiri upacara pengebumian Bob. Upacara ini merupakan satu perjumpaan yang gembira dan dipenuhi dengan orang yang masih setia berjalan dalam iman—semuanya disebabkan oleh pasangan suami isteri yang telah membuka rumah serta hati mereka untuk menolong orang lain mencari Tuhan.