Ketabahan dan keberanian—Elisa mempunyai kedua-dua ciri ini. Oleh sebab dia menghabiskan kebanyakan masa dengan Elia, maka Elisa menyaksikan pekerjaan Tuhan melalui nabi Elia yang melakukan mujizat serta memberitakan kebenaran pada zaman yang penuh pembohongan. Kitab 2 Raja-Raja 2:1 memberitahu kita bahawa Elia akan diangkat “ke syurga,” namun Elisa tidak rela dengan pemergiannya.
Masa perpisahan itu akhirnya tiba, dan Elisa menyedari dia memerlukan apa yang ada pada Elia sekiranya dia ingin berhasil untuk meneruskan pelayanannya. Oleh itu, dia membuat satu permintaan ini: “Benarkanlah saya mewarisi kuasa tuan supaya saya boleh menjadi pengganti tuan” (2 Raja-Raja 2:9). Permintaan yang berani ini merujuk kepada bahagian harta dua kali ganda yang diberikan kepada anak sulung atau pewaris menurut peraturan (Ulangan 21:17). Elisa ingin diakui sebagai waris Elia. Tuhan mengabulkan permintaannya.
Baru-baru ini, salah seorang mentor saya—seorang wanita yang mengkhabarkan berita baik tentang Yesus telah meninggal dunia. Setelah terlantar sakit selama bertahun-tahun, akhirnya dia bersedia untuk menikmati jamuan kekal bersama dengan Tuhan. Bagi kami yang mengasihinya, kami bersyukur atas pembebasannya daripada penyakit dan kini dia berada di hadirat Tuhan. Namun kami juga bersedih atas pemergian saudari yang meninggalkan banyak kasih dan teladan yang baik kepada kami. Walaupun dia sudah meninggalkan kami, kami tidak akan bersendirian kerana Tuhan tetap menyertai kami.
Elisa menerima dua kali ganda roh Elia—satu keistimewaan dan berkat yang luar biasa! Kita juga memiliki Roh Kudus yang dijanjikan, selepas kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus. Tuhan Tritunggal tinggal di dalam hati kita!