Seperti orang lain dalam komuniti penulis blog, saya tidak pernah bertemu dengan lelaki yang kami kenali sebagai BruceC. Namun apabila isterinya memaklumkan kumpulan kami tentang kematian suaminya, banyak respons dari pelbagai tempat menunjukkan bahawa kami telah kehilangan seorang sahabat.
BruceC sering mengongsikan isi hatinya kepada kami. Dia sering bercerita tentang keprihatinannya terhadap orang lain dan hal-hal yang penting baginya. Ramai antara kami terasa seolah-olah sudah lama berkenalan dengan dia. Kami pasti akan merindui sikap lemah lembut serta kebijaksanaannya yang berasal daripada pengalamannya selama bertahun-tahun dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, serta imannya dalam Kristus.
Ketika mengingat kembali perbualan kami dengan BruceC dalam talian, saya mempunyai penghargaan yang baru terhadap kata-kata yang ditulis oleh saksi Yesus pada abad pertama. Dalam surat pertama Perjanjian Baru yang ditulis oleh rasul Petrus, dia memberi sepatah dua kata kepada semua pembaca di seluruh Empayar Roma: “Kamu mengasihi Dia meskipun kamu belum pernah melihat Dia” (1 Petrus 1:8).
Petrus, sahabat yang rapat dengan Yesus, telah menulis kepada mereka yang tidak pernah melihat Yesus. Mereka hanya mendengar bahawa Yesus akan memberi mereka harapan baru di tengah-tengah kesusahan mereka. Namun demikian, mereka mengasihi Dia seperti orang percaya yang lain. Mereka tahu bahawa melalui pengorbanan-Nya, Dia telah membawa mereka menjadi anggota keluarga Tuhan untuk selama-lamanya.