Salah satu tugas harian saya semasa tinggal dengan datuk saya di bahagian utara Ghana, ialah menjaga domba. Setiap pagi saya membawa domba-domba meragut rumput dan pulang pada lewat petang. Masa itulah saya sedar betapa degilnya domba-domba ini. Contohnya, setiap kali melihat ladang, domba-domba mempunyai naluri untuk terus menuju ke padang rumput itu. Hal ini sudah beberapa kali menyusahkan saya dan pemilik ladang tersebut.
Kadangkala apabila saya berasa penat disebabkan cuaca panas dan berehat di bawah pokok, saya memerhatikan domba-domba itu memasuki semak dan meluru ke arah bukit, jadi saya terpaksa mengejar sehingga kaki kurus saya tercalar kerana terkena semak. Saya mengalami kesukaran semasa cuba menggembala binatang itu jauh daripada bahaya dan kesusahan, terutamanya ketika pencuri datang dan mencuri domba-domba yang sudah menyimpang.
Oleh itu, saya boleh faham apabila Yesaya berkata, “Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing-masing mengikut jalan sendiri” (53:6). Kita menyimpang dalam banyak cara: Kita mengingini dan melakukan hal-hal yang tidak menyenangkan hati Tuhan, menyakiti orang lain dengan perbuatan kita, tidak meluangkan masa bersama Tuhan dan membaca firman-Nya kerana kita terlalu sibuk atau kurang berminat. Kita berkelakuan seperti domba-domba di ladang.
Mujurlah kerana kita mempunyai gembala yang baik, gembala yang telah mengorbankan nyawa-Nya untuk kita (Yohanes 10:11), malah memikul kesedihan dan dosa kita (Yesaya 53:4-6). Sebagai gembala kita, Dia juga memanggil kita pulang ke padang rumput yang selamat agar kita dapat mengikut Dia dengan lebih rapat.
jadilah orang yang rela mengikut Dia.