Setelah melalui musim-musim sejuk yang bersalji, kami yang tinggal di Michigan amat menginginkan ketibaan musim bunga. Mei ialah bulan yang kita boleh menemui harapan itu. Transformasinya amat menakjubkan. Dahan kayu yang kelihatan tidak bernyawa pada 1 Mei telah berubah menjadi dahan yang dipenuhi dedaun hijau pada akhir bulan. Walaupun kita tidak dapat melihat perubahan itu setiap hari, namun pada penghujung bulan, hutan kecil di halaman belakang rumah saya akan bertukar daripada warna kelabu ke warna hijau.

Tuhan telah mencipta satu kitaran hidup yang ada waktu istirahat dan pembaharuan. Apa yang kelihatan seperti kematian bagi kita ialah waktu istirahat bagi Tuhan. Sepertimana waktu rehat merupakan persediaan untuk suatu pembaharuan, manakala waktu kematian merupakan persediaan untuk kebangkitan.

Saya suka melihat hutan kecil muncul semula pada setiap musim bunga, kerana ia mengingatkan saya bahawa kematian adalah sementara dan tujuannya adalah untuk mempersiapkan kehidupan dan permulaan baharu, untuk sesuatu yang jauh lebih baik. “Jika sebiji benih gandum tidak ditanam di tanah lalu mati, benih gandum itu tetap sebiji benih sahaja. Tetapi jika benih itu ditanam lalu mati, maka benih itu akan tumbuh dan menghasilkan banyak gandum” (Yohanes 12:24).

Walaupun debunga adalah gangguan pada musim bunga apabila ia meliputi perabot saya dan membuat orang bersin, namun debunga itu mengingatkan saya bahawa Tuhan selalu memastikan semuanya masih bernyawa. Selepas mengalami kesengsaraan daripada kematian, Tuhan menjanjikan kebangkitan yang mulia untuk mereka yang percaya kepada Anak-Nya.