“Saya tidak hairan bahawa kamu yang mengetuai kem rohani ini” kata seorang rakan dalam kelas senaman saya. “Kamu mempunyai aura yang baik.” Saya agak terkejut tetapi berasa gembira dengan komennya, kerana saya sedar bahawa apa yang dilihatnya sebagai “aura” saya, adalah kesejahteraan Kristus. Apabila kita mengikut Yesus, Dia memberi kita kesejahteraan yang tidak mungkin difahami oleh manusia (Filipi 4:7) dan ia terpancar dari dalaman kita—walaupun kita mungkin tidak menyedarinya.
Yesus menjanjikan kesejahteraan ini kepada para pengikut-Nya apabila mereka makan bersama untuk kali terakhir, Dia mempersiapkan mereka untuk kematian dan kebangkitan-Nya. Dia memberitahu mereka bahawa walaupun mereka akan menghadapi kesusahan di dunia, Bapa akan memberikan Roh yang menunjukkan apa yang benar, untuk tinggal bersama-sama dan bersatu dengan mereka. (Yohanes 14:16-17). Roh Tuhan akan mengajar dan mengingatkan mereka tentang kebenaran-Nya; Roh akan menenangkan hati mereka, dan memberikan kesejahteraan-Nya. Walaupun mereka akan menghadapi penganiayaan tidak lama lagi—termasuk penentangan yang hebat daripada para ahli agama dan melihat Yesus disalibkan—Dia memberitahu mereka supaya jangan berasa takut. Roh Kudus tidak akan meninggalkan mereka.
Kita akan menghadapi kesusahan, walaupun sebagai anak Tuhan. Namun kita juga memiliki Roh-Nya yang tinggal bersama-sama dan mengalir daripada kita. Kesejahteraan daripada Tuhan akan menjadi saksi yang baik bagi semua orang yang kita temui—sama ada di pasar, sekolah atau tempat kerja, mahupun waktu anda bersenam di gim.