Untuk membantu arkitek-arkitek muda yang merupakan kakitangannya memahami keperluan pelanggan dalam rekaan bentuk rumah, David Dillard menghantar mereka “tidur di luar.” Mereka memakai baju tidur dan meluangkan 24 jam di perumahan orang tua, dalam keadaan yang sama dengan orang yang berada dalam lingkungan umur 80-an dan 90-an. Mereka memakai penyumbat telinga untuk menyerupai orang pekak, membalut jari dengan pita pelekat untuk menghadkan pergerakan dan menukar kaca mata untuk menyerupai orang yang ada masalah penglihatan. Dillard berkata, “Manfaat utama yang saya terima setelah para arkitek muda yang berumur 27 tahun ini kembali, mereka kini memiliki kematangan dan pemahaman 10 kali ganda daripada sebelumnya. Mereka hidup dengan orang tua ini dan memahami kesusahan mereka” (akhbar RODNEY BROOKS, USA TODAY).
Yesus hidup di bumi ini selama 33 tahun dan berkongsi kemanusiaan kita. Dia menjadi “seperti saudara-saudara-Nya dalam segala hal” (Ibrani 2:17), maka Dia mengerti perasaannya hidup sebagai manusia di bumi ini. Dia memahami pergelutan yang kita hadapi, malah rela menemani kita dengan pengertian serta dorongan.
“Oleh itu, sekarang Dia dapat menolong mereka yang kena cubaan, kerana [Yesus] sendiri pernah dicubai dan menderita” (ayat 18). Tuhan sudah tentu boleh mengelakkan penyaliban. Namun Dia mentaati perintah Bapa-Nya. Melalui kematian-Nya, Dia mengalahkan kuasa Iblis dan membebaskan kita daripada perasaan takut akan kematian (ayat 14-15).
Dalam setiap godaan, Yesus berjalan bersama kita untuk memberikan keberanian, kekuatan dan pengharapan di sepanjang perjalanan hidup.