Ketika sahabat saya, Myrna melancong ke luar negara, dia melawat sebuah gereja untuk berbakti. Dia memerhatikan bahawa setiap orang yang memasuki ruang kebaktian akan terus berlutut dan berdoa, membelakangi bahagian depan gereja. Sahabat saya mendapat tahu bahawa jemaah dalam gereja tersebut akan mengaku dosa mereka kepada Tuhan terlebih dahulu sebelum memulakan ibadat kebaktian.
Sikap merendah hati ini merupakan gambaran tentang apa yang dikatakan oleh Daud dalam Mazmur 51: “Persembahanku adalah hati yang hancur, ya Allah; hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima” (ayat 19). Daud menggambarkan penyesalan dan pertaubatannya sendiri kerana perzinaannya dengan Batsyeba. Orang yang benar-benar menyesal terhadap dosa akan melihat apa yang sudah dilakukannya melalui pandangan Tuhan—melihat dosanya sebagai suatu perbuatan yang amat salah, membencinya, dan tidak lagi mahu terus berdosa.
Apabila kita betul-betul menyesal terhadap dosa kita, Tuhan akan memulihkan kita semula dengan penuh kasih. “Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah” (1 Yohanes 1:9). Pengampunan ini memberi peluang agar kita boleh datang menghadap Dia dengan penuh keberanian, dan ini juga adalah permulaan yang paling baik untuk memuji Dia. Selepas Daud bertaubat, membuat pengakuan dosanya dan diampuni oleh Tuhan, dia menjawab dengan berkata, “Tolonglah aku berkata-kata, ya Tuhan, lalu aku akan memberi Engkau pujian” (Mazmur 51:17).
Kerendahan hati adalah respons yang benar terhadap kekudusan Tuhan, dan pujian ialah respons hati kita terhadap pengampunan-Nya.