Dia menganggap dirinya sebagai seorang yang selalu khuatir. Bagaimanapun, dia melepaskan diri daripada anggapan itu apabila anaknya sendiri tercedera dalam satu kemalangan. Semasa anaknya dalam penyembuhan, dia dan kawan-kawannya berkumpul pada setiap minggu untuk bersekutu dan berdoa. Dia berdoa kepada Tuhan untuk meminta pertolongan dan kesembuhan bagi anaknya. Selama beberapa bulan itu, ketakutan dan kerisauannya telah berubah dan menjadi bahan doa. Dia mula menyedari bahawa dia sedang berubah daripada seorang yang selalu khuatir kepada seorang pahlawan doa. Dia berasa seakan-akan Tuhan telah memberikannya nama yang baru. Dia mengenal identitinya di dalam Kristus dengan lebih dalam setelah mengalami pergelutan mengenai kemalangan anaknya.
Dalam surat Yesus kepada jemaah di Pergamus, Tuhan menjanjikan nama baru akan tertulis di atas batu putih bagi mereka yang setia kepada-Nya (Wahyu 2:17). Para pentafsir Alkitab telah berdebat maksud ayat ini, tetapi kebanyakan bersetuju bahawa batu putih ini merujuk kepada kebebasan kita dalam Kristus. Pada zaman Alkitab, juri di mahkamah menggunakan batu putih untuk menjatuhkan hukuman tidak salah, dan batu hitam untuk hukuman bersalah. Orang yang mempunyai batu putih juga dibenarkan memasuki acara seperti jamuan; demikian juga mereka yang menerima batu putih daripada Tuhan akan diundang ke jamuan syurgawi. Kematian Yesus memberikan kita kebebasan dan hidup yang baru—dan nama yang baru.
Pada pendapat anda, apakah nama baru anda yang akan diberikan oleh Tuhan?