Pada tahun yang lalu, sewaktu saya menghadiri satu kem pembaharuan rohani, saya bertemu semula dengan kawan-kawan yang sekian lama tidak jumpa. Kami bersembang sambil ketawa, namun saya juga menangis kerana saya terlalu rindukan mereka.

Pada hari terakhir pertemuan tersebut, kami menghadiri Perjamuan Kudus bersama-sama, disusuli dengan lebih banyak air mata dan ketawa! Saya bersukacita atas kasih kurnia Tuhan yang telah memberikan saya hidup kekal dan hari-hari yang indah bersama dengan kawan-kawan. Namun sekali lagi saya disedarkan oleh harga yang perlu dibayar oleh Yesus untuk membebaskan saya daripada dosa.

Saya teringat akan Ezra dan hari terpenting di Yerusalem. Orang tawanan telah kembali dari perhambaan dan siap untuk membina semula asas Rumah Tuhan. Orang bernyanyi dengan sukacita, tetapi ada imam-imam tua yang menangis (Ezra 3:10-12). Mungkin ini kerana mereka terkenang akan Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo dan segala kemuliaannya. Atau mereka berdukacita kerana dosa-dosa mereka yang telah mengakibatkan mereka dibuang ke dalam perhambaan?

Adakalanya apabila kita melihat Tuhan bekerja, kita turut mengalami perasaan yang berbeza-beza, termasuklah kesukacitaan apabila kita melihat keajaiban Tuhan, dan kedukacitaan apabila kita terkenangkan dosa-dosa kita yang menyebabkan pengorbanan-Nya.

Orang Israel menyanyi dan menangis, dan bunyinya kedengaran sampai jauh (ayat 13). Semoga perasaan kita yang sebenar menyatakan kasih dan penyembahan kepada Tuhan kita, sehingga orang di sekeliling kita tersentuh olehnya.