Apabila kita mendengar kesaksian tentang Tuhan melakukan perkara yang ajaib dalam kehidupan orang lain, kita akan berasa terdorong. Walaupun kita bersukacita kerana Tuhan menjawab doa mereka, namun kita mungkin juga tertanya-tanya, mengapa Tuhan tidak melakukan perkara yang ajaib bagi kita untuk kebelakangan ini.

Kita mungkin berfikir jika Tuhan menampakkan diri-Nya dalam cara yang ajaib seperti dilakukan-Nya untuk Abraham, kita akan lebih terdorong untuk menjadi hamba yang setia kepada-Nya. Namun, jangan lupa bahawa Tuhan hanya menampakkan diri-Nya kepada Abraham pada setiap 12-14 tahun. Sepanjang masa itu, Abraham hanya menjalani kehidupan yang biasa (lihat Kejadian 12:1-4; 15:1-6; 16:16–17:12).”

Sebenarnya karya Tuhan tidak kelihatan dan sering berlaku dalam perkara-perkara seharian yang biasa. Seperti dikatakan dalam Alkitab, “Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya” (1 Korintus 10:13). Setiap hari Tuhan sibuk untuk melindungi kita daripada serangan Iblis. Jika tidak, kita pasti akan menyerah kalah. Pada saat kita dicubai, Dia memberikan jalan keluar supaya kita dapat melepaskan diri.

Apabila kita membaringkan kepala di atas bantal pada waktu malam, kita harus berhenti sejenak dan bersyukur kepada Tuhan atas perkara ajaib yang dilakukan-Nya dalam kehidupan kita sepanjang hari. Kita tidak perlu memohon Dia melakukan perkara ajaib untuk kita—kita hanya perlu mengucap syukur kepada-Nya kerana Dia sudah melakukan perkara ajaib bagi kita.