Gambar itu ditemui pada sekeping kad Hari Bapa yang lucu. Di dalam gambar tersebut, seorang bapa sedang menolak mesin pemotong rumput di halamannya dengan menggunakan satu tangan sambil menarik sebuah kereta kecil di belakangnya dengan tangannya yang satu lagi. Anak perempuannya yang berumur tiga tahun sedang berada di kereta itu dan sangat seronok menikmati perjalanannya di halaman dengan suasana yang bising. Ini mungkin bukanlah pilihan yang paling selamat untuk menjaga anak, tetapi siapa kata bahawa lelaki tidak dapat melakukan banyak perkara pada masa yang sama?
Jika anda mempunyai seorang bapa yang baik, senario ini pasti akan memberi kenangan yang indah. Namun bagi kebanyakan orang, “bapa” merupakan konsep yang tidak sempurna. Siapakah yang patut kita bersandar, jika kita kehilangan bapa, atau dikecewakan, bahkan dilukainya?
Raja Daud sudah tentu bukan seorang bapa yang sempurna, tetapi dia memahami sifat kebapaan di dalam Tuhan. Oleh itu dia menulis, “Allah yang tinggal di tempat kediaman-Nya yang suci, memelihara anak yatim dan melindungi balu. Dia memberikan keluarga kepada yang tidak ada saudara-mara” (Mazmur 68:6-7). Rasul Paulus memperluaskan pemikiran ini: “Roh Allah menjadikan kamu anak-anak Allah.” Dengan menggunakan perkataan dalam bahasa Aramia untuk ‘bapa’—gelaran yang digunakan oleh anak-anak kecil terhadap bapa mereka—Paulus menambah, “Dengan kuasa Roh Allah kita memanggil Allah ‘Bapa, ya Bapaku!’ ” (Roma 8:15). Inilah juga perkataan yang digunakan oleh Yesus ketika Dia berdoa dengan keluhan kepada Bapa-Nya pada malam Dia dikhianati! (Markus 14:36)
Betapa istimewanya kita dapat memanggil Tuhan kita sebagai “bapa,” istilah intim yang juga digunakan oleh Yesus sendiri! Abba Bapa kita menyambut sesiapa pun untuk menjadi ahli keluarga-Nya apabila mereka kembali kepada-Nya.