Kasih bukan sahaja boleh menjadikan “dunia ini berputar,” seperti seni kata dalam sebuah lagu lama. Ia juga membuat hati kita mudah tersinggung. Kadang-kadang kita mungkin akan berfikir: “Mengapa saya harus mengasihi orang lain jika mereka tidak menghargai saya?” atau “Mengapa saya harus mengasihi mereka dan membiarkan diri dilukai?” Namun, rasul Paulus memberikan alasan yang jelas dan ringkas supaya kita terus mengejar kasih: “Sementara ini ada tiga perkara yang harus tetap dilakukan: percaya, berharap, dan mengasihi orang lain. Tetapi yang paling penting daripada ketiga-tiganya adalah mengasihi orang lain. Oleh itu, kamu harus berusaha untuk mengasihi orang lain” (1 Korintus 13:13–14:1).
Pengulas Alkitab, C. K. Barrett berkata, “Kasih adalah satu tindakan, dan segala tindakan yang dilakukan oleh Tuhan adalah berdasarkan kasih. Apabila manusia mengasihi Dia atau sesamanya, mereka sedang melakukan (walaupun tidak sempurna) apa yang dilakukan oleh Tuhan.” Kita juga menyenangkan hati Tuhan apabila kita bertindak seperti Dia.
Untuk mula mengasihi orang lain, cuba fikirkan bagaimana anda akan hidup menurut ciri-ciri kasih yang disenaraikan di dalam 1 Korintus 13:4-7. Contohnya, bagaimanakah saya dapat bersabar dengan anak saya seperti Tuhan bersabar dengan saya? Bagaimanakah saya menunjukkan kebaikan dan hormat kepada ibu bapa saya? Apakah maksudnya mengutamakan kepentingan orang lain di tempat kerja? Apabila sesuatu yang baik berlaku kepada seorang rakan, adakah saya berasa gembira atau cemburu?
Apabila kita “berusaha untuk mengasihi orang lain”, kita akan mendapati bahawa kita sering mencari wajah Tuhan sebagai sumber kasih dan memandang Yesus sebagai teladan yang terbaik dalam kasih. Hanya dengan cara ini, kita akan mendapat pengertian yang lebih dalam tentang kasih yang benar dan menemukan kekuatan untuk mengasihi sesama seperti Tuhan mengasihi kita.