Pulau Tristan da Cunha terkenal kerana kedudukannya yang terasing. Ia juga merupakan pulau berpenduduk yang terpencil di dunia, dengan 288 orang yang memanggil tempat itu sebagai tempat kediaman mereka. Pulau itu terletak di Selatan Lautan Atlantik, 2816 kilometer dari Afrika Selatan–tanah besar yang paling dekat. Sesiapa pun yang ingin mengunjungi tempat tersebut perlu menaiki bot selama tujuh hari kerana pulau itu tiada kemudahan pengangkutan udara.
Yesus dan para pengikut-Nya berada di suatu tempat yang terpencil apabila Dia melakukan mukjizat dengan memberi makan kepada beribu-ribu orang yang kelaparan. Sebelum melakukan mukjizat, Yesus berkata kepada para pengikut-Nya, “Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku, dan sekarang mereka kehabisan makanan. Jika Aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan” (Markus 8:2-3). Oleh sebab mereka berada di tempat yang terpencil dan tidak mudah untuk memperoleh makanan, maka mereka harus bergantung sepenuhnya kepada Yesus. Mereka tiada penyelesaian lain.
Ada kalanya Tuhan mengizinkan kita berada di tempat yang terpencil, yang Dia sahaja merupakan sumber pertolongan kita. Kemampuan-Nya untuk memenuhi keperluan kita tidak semestinya bergantung kepada keadaan kita. Jika Dia dapat menciptakan dunia daripada keadaan yang kosong, sudah tentu Tuhan dapat memenuhi keperluan kita—apa pun keadaan itu—oleh sebab kekayaan dan kemuliaan yang berlimpah-limpah di dalam Kristus Yesus (Filipi 4:19).