“Saya bekerja sebagai setiausaha,” kata kawan saya, “Apabila saya memberitahu orang tentang pekerjaan saya, kadangkala mereka memandang saya dengan rasa kasihan. Namun apabila saya mengatakan untuk siapa yang saya bekerja, mata mereka terbeliak kerana terkejut!” Dengan kata lain, masyarakat biasanya menganggap sesetengah pekerjaan itu kurang penting, kecuali pekerjaan tersebut berkaitan dengan orang yang kaya atau terkenal.
Namun bagi anak-anak Tuhan, apa pun kerjaya kita dan siapa pun majikannya, kita tetap boleh berasa bangga kerana kita melayani Tuhan Yesus.
Dalam Efesus 6, Paulus berkata kepada golongan hamba dan tuan. Dia mengingatkan dua golongan ini bahawa kita melayani satu Tuan yang ada di syurga. Oleh itu, kita perlu melakukan segala sesuatu dengan hati yang ikhlas, jujur dan hormat kerana kita sedang melayani dan bekerja untuk Kristus. Seperti yang diperingatkan oleh rasul Paulus, “Lakukanlah kerja kamu sebagai abdi dengan hati yang gembira, seolah-olah kamu bekerja untuk Tuhan, dan bukan hanya untuk manusia” (Efesus 6:7).
Ini merupakan satu keistimewaan kerana kita dapat melayani Tuhan dalam segala yang kita lakukan, baik itu menjawab telefon, memandu kereta, melakukan kerja-kerja rumah atau menjalankan perniagaan. Marilah kita bekerja dengan senyuman pada hari ini, dan ingatlah bahawa apa pun yang kita lakukan, kita sedang melayani Tuhan.
menunjukkan kasih kita terhadap Tuhan.