Apabila pastor meminta salah seorang pemimpin gerejanya untuk memimpin jemaah dalam doa, respons pemimpin itu mengejutkan semua orang. Dia berkata, “Pastor, minta maaf, saya baru sahaja bergaduh dengan isteri saya waktu datang ke gereja. Saya benar-benar tidak dapat memimpin doa.” Pada saat itu semua orang terasa sangat janggal. Maka pastor itu mengambil alih untuk berdoa. Kebaktian diteruskan. Sejak itu, pastor itu membuat keputusan agar tidak meminta seseorang berdoa di khalayak umum sebelum bertanya secara peribadi kepada orang tersebut.
Pemimpin itu telah menunjukkan kejujuran yang mengejutkan kerana dia boleh sahaja berdoa secara munafik. Namun, doa mempunyai pelajaran yang lebih penting di sini. Tuhan adalah Bapa yang penyayang. Jika saya sebagai suami pun tidak menghormati dan menyanjung isteri saya—anak perempuan Tuhan, mengapa pula Bapa yang di syurga mahu mendengar doa saya?
Rasul Petrus membuat pemerhatian yang menarik di sini. Dia mengarahkan para suami memperlakukan isteri mereka dengan hormat kerana mereka juga ialah waris dalam Kristus, “supaya tiada sesuatu pun menghalangi doa kamu” (1 Petrus 3:7). Prinsip tersirat dalam ayat tersebut bermaksud: hubungan kita dengan sesama akan mempengaruhi kehidupan doa kita.
Apakah yang bakal terjadi jika kita menggantikan senyuman pada hari minggu dan rupa keagamaan dengan memperlakukan saudara dan saudari kita dengan jujur? Apakah yang bakal dilakukan oleh Tuhan melalui kita apabila kita berdoa dan belajar untuk mengasihi sesama kita sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri?