Semasa saya kecil, setiap bulan keluarga saya akan pergi bersiar-siar dari Ohio ke Virginia Barat, Amerika Syarikat untuk melawat datuk dan nenek sebelah ibu saya. Setiap kali kami tiba di depan pintu rumah ladang mereka, Nenek Lester akan menyambut kami dengan ceria, “Ayuh, masuklah ke rumah.” Inilah caranya membuat kami berasa selesa, dan duduk sambil berbual-bual dengannya.

Kehidupan boleh menjadi agak sibuk. Dalam dunia yang mengutamakan “cepat dan segera”, sukar bagi kita mengenal seseorang, apatah lagi meluangkan masa dan menjemput orang “duduk sambil berbual-bual” dengan kita. Ini kerana kita dapat melakukan lebih banyak perkara dengan hanya menghantar mesej dan terus berbincang.

Namun lihat apa yang dilakukan oleh Yesus apabila Dia ingin membawa perubahan kepada kehidupan seorang pemungut cukai. Dia “masuk ke rumah Zakheus dan berbual-bual” dengannya. Ketika Yesus berkata, “Hari ini Aku mesti menumpang di rumahmu,” ini menunjukkan Dia bukan duduk untuk sementara sahaja (Lukas 19:5). Yesus meluangkan masa untuk bersekutu dengan Zakheus dan hal ini telah mengubah kehidupannya.

Di halaman depan rumah nenek saya terdapat beberapa buah kerusi. Ini merupakan tanda sambutan yang mesra bagi setiap tetamu untuk bersantai dan berbual-bual dengan mereka. Sekiranya kita ingin mengenal seseorang dan membawa sesuatu perubahan dalam hidup mereka—seperti apa yang dilakukan Yesus terhadap Zakheus—kita perlu menjemput mereka “masuklah rumah dan berbual-bual.”