Dalam keadaan yang mendesak, seorang wanita menelefon pusat bantuan perumahan, iaitu tempat kerja saya. Alat pemanas di rumahnya telah rosak dan mengakibatkan seluruh rumahnya menjadi sejuk membeku. Dengan cemasnya, dia bertanya tentang tindakan seterusnya untuk anaknya. Dengan segera saya memberikan dia satu jawapan standard yang telah disediakan oleh pusat kami: “Anda terus pindah ke sebuah hotel dan berikan bil hotel itu kepada tuan rumah anda.” Selepas mendengar jawapan saya, dia terus meletakkan gagang telefon dengan marah.

Saya memang tahu jawapan standard bagi soalan wanita itu, namun saya telah mengabaikan perasaannya. Wanita itu menginginkan seseorang untuk memahami ketakutan dan kebimbangannya. Dia perlu diyakinkan bahawa dia tidak bersendirian pada masa itu. Sedihnya, saya telah bersikap dingin terhadapnya.

Selepas Ayub kehilangan segala-galanya, kawan-kawannya tidak dapat memahami perasaannya walaupun mereka memberikan dia banyak jawapan. Zofar menasihati Ayub bahawa dia hanya perlu hidup untuk Tuhan dengan segenap hatinya. Kemudian, dia berkata “Kehidupanmu akan menjadi lebih terang daripada sinar matahari waktu siang” (Ayub 11:17). Hati Ayub tidak dihiburkan oleh kata-kata kawan tersebut dan dia menyindir, “Apabila kamu mati, hikmat juga akan mati!” (12:2). Ayub amat mengerti jawapan standard tidak dapat menyelesaikan masalah yang realistik di dunia ini.

Kita mungkin cenderung untuk membuat komen bahawa kawan-kawan Ayub gagal untuk memahami situasi dan perasaan Ayub. Namun, bukankah kita juga sering menjawab soalan dengan segera walaupun kita belum benar-benar memahami seluruh masalah orang lain? Nescayalah orang yang berada dalam kesusahan memerlukan jawapan, tetapi mereka lebih menginginkan orang yang dapat mendengar dan memahami mereka. Apa yang diperlukan mereka sebenarnya ialah keprihatinan kita.