Apabila seorang cendekiawan berbangsa Inggeris menyeru agama-agama dunia ini bekerjasama untuk mencapai perpaduan sejagat, semua orang menghargai usahanya. Dengan menunjukkan bahawa kebanyakan agama utama berkongsi pedoman penting yang sama, dia mencadangkan, “Tugas utama bagi zaman kita adalah membina satu masyarakat global, supaya manusia daripada segala fahaman dapat hidup bersama dalam kedamaian dan keharmonian.”

Yesus menyebutkan inti ajaran-Nya dalam Khutbah di atas Bukit: “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka” (Matius 7:12). Dalam khutbah yang sama, Dia berkata, “Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu” (5:44). Untuk mengamalkan perintah-perintah ini secara menyeluruh, masa yang panjang pasti diperlukan untuk menuju kedamaian dan keharmonian. Namun seterusnya, Yesus memberi amaran ini, “Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas” (7:15).

Penghormatan kepada orang lain dan kebolehan untuk membezakan kebenaran daripada kepalsuan mesti dijalankan bersama. Jika kita mempunyai kebenaran, kita mempunyai mesej yang memadai untuk diberitakan. Namun Tuhan memberi kebebasan kepada setiap orang untuk memilih Dia atau menolak Dia. Tanggungjawab kita adalah menyampaikan kebenaran dengan penuh kasih dan menghormati pilihan peribadi orang lain, seperti yang dilakukan oleh Tuhan.

Penghormatan kita terhadap orang lain adalah penting untuk memenangi hormat mereka. Ini adalah langkah yang penting dan memberikan kesempatan untuk menyarankan mesej Yesus yang berkata, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup” (Yohanes 14:6).