Di sebuah padang di luar bandar England, G. K. Chesterton bangun dari tempat duduknya dan ketawa terbahak-bahak. Ledakan ketawanya yang tiba-tiba ini menyebabkan lembu-lembu di padang pun tidak dapat mengalihkan pandangan daripada dia.
Beberapa minit sebelum ini, penulis dan apologis Kristian ini berasa sedih. Pada petang itu, dia merayau-rayau di perbukitan, melakarkan gambar pada kertas perang dengan menggunakan kapur yang berwarna. Namun, dia berasa kecewa kerana dia tidak membawa kapur putih yang dianggap penting dalam karya seninya. Bagaimanapun, tidak lama kemudian dia mula ketawa apabila dia menyedari bahawa tanah batu kapur berliang yang dipijak di bawah kakinya, sebenarnya ialah kapur putih semula jadi. Maka dia mematahkan sebahagian batu itu dan terus melukis.
Seperti Chesterton yang menyedari bahawa dia “sedang duduk di atas gudang kapur putih yang sangat besar,” orang percaya boleh mendapat sumber rohani Tuhan yang tidak terhad dengan mudah pada setiap masa. “Dengan kuasa-Nya sendiri, Allah sudah mengurniai kita segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup salih. Dia melakukan hal ini melalui apa yang kita ketahui tentang Allah yang telah memanggil kita untuk menikmati kemuliaan dan kebaikan-Nya sendiri” (2 Petrus 1:3).
Mungkin anda berasa bahawa anda kekurangan sesuatu elemen penting untuk hidup salih, seperti iman, rahmat, atau hikmat. Jika anda mengenal Kristus, anda mempunyai lebih daripada segala-gala yang anda perlukan. Melalui Yesus, anda boleh menghampiri Tuhan Bapa—Tuhan yang membekalkan segala keperluan kepada orang percaya dengan penuh kasih.