Apabila nenek saya pergi ke Mexico sebagai seorang penginjil, dia menghadapi kesusahan ketika mempelajari bahasa Sepanyol. Pada suatu hari dia pergi ke pasar. Dia menunjukkan senarai barang-barang yang harus dibelinya kepada pembantu kedai dan berkata, “Itu ada dua lidah (lenguas).” Namun, dia sebenarnya ingin berkata bahawa dia telah menulisnya dalam dua bahasa (idiomas). Penjual daging terdengar perbualan mereka dan menganggap bahawa dia ingin membeli dua ketul lidah lembu. Nenek saya tidak sedar akan perkara ini sehingga dia tiba di rumah. Sebelum ini dia tidak pernah memasak lidah lembu itu!

Kesilapan tidak dapat dielakkan apabila kita belajar bahasa kedua, termasuk mempelajari bahasa baharu, iaitu kasih Tuhan. Ada masanya percakapan kita bercanggahan kerana kita memuji Tuhan tetapi kemudian kita mengutuk orang lain. Kemanusiaan lama kita yang berdosa bertentangan dengan hidup baharu di dalam Kristus. Apa yang keluar daripada mulut kita menunjukkan bahawa kita amat memerlukan pertolongan Tuhan.

“Lidah” lama kita harus diubah. Satu-satunya cara untuk mempelajari bahasa baharu tentang kasih ialah kita menjadikan Yesus sebagai Tuhan dalam percakapan kita. Apabila Roh Kudus bekerja dalam kita, Dia memberikan pengawalan diri kepada kita, supaya kita meluahkan kata-kata yang menyenangkan hati Bapa. Semoga kita menyerahkan setiap perkataan kita kepada Dia. “Ya TUHAN, kawallah mulutku, dan jagalah bibirku” (Mazmur 141:3).