Mary ialah seorang balu dan menghadapi masalah kesihatan yang teruk apabila anak perempuannya menjemput dia pindah ke “pangsapuri nenek” yang baharu, iaitu unit yang dekat dengan pangsapuri anak perempuannya. Walaupun ini bermaksud Mary harus berpindah jauh daripada kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga yang lain, Mary bersukacita dengan peruntukan yang diberikan oleh Tuhan.

Setelah enam bulan berpindah ke tempat baharu, sukacita dan kepuasan hati pada awalnya mulai pudar apabila dia tergoda untuk bersungut dan berasa ragu-ragu akan keputusan untuk berpindah itu merupakan rancangan Tuhan yang sempurna. Dia merindui rakan-rakan Kristiannya, malah dia sendiri sukar untuk pergi ke gereja baharu yang terletak terlalu jauh dari rumahnya.

Kemudian Mary terbaca sesuatu yang ditulis oleh seseorang pengkhutbah terkenal pada abad ke-19 yang bernama Charles Spurgeon. “Kepuasan hati adalah seperti salah satu jenis bunga dari syurga, ia mestilah dipupuk.” “Paulus berkata … ‘Aku sudah belajar berpuas hati,’ mungkin kerana dia belum dapat belajar berpuas hati sebelum itu.”

Mary menyimpulkan bahawa sekiranya seorang penginjil yang berapi-api seperti Paulus, dikurung di dalam penjara, diabaikan oleh rakan-rakannya, dan menghadapi hukuman mati, boleh belajar berpuas hati, dia juga boleh berbuat demikian.

“Saya menyedari bahawa sebelum saya mempelajari pelajaran ini, saya pasti tidak dapat menikmati perkara yang telah dirancang oleh Tuhan,” katanya. “Maka saya mengakui sungutan saya dan meminta pengampunan-Nya. Tidak lama kemudian, seorang wanita yang sudah bersara bertanya jika saya boleh menjadi rakan doanya, dan orang lain pula rela membawa saya ke gereja tersebut. Keperluan saya untuk mempunyai “rakan sejiwa” dan kemudahan kenderaan dipenuhi.”