Perjalanan hidup tidak selalu lancar. Maka jika kita selalu mengharapkan bahawa Tuhan akan memberi kita jalan yang mudah, kita mungkin akan dicubai untuk meninggalkan Dia apabila perjalanan hidup menjadi sukar.

Sekiranya anda pernah berfikir untuk meninggalkan Tuhan, fikirkanlah tentang orang Israel. Ketika mereka mendapat kebebasan daripada orang Mesir setelah diper-hambakan selama beratus-ratus tahun, mereka pun meninggalkan tempat itu dan pergi ke Tanah Perjanjian. Tetapi Tuhan tidak terus membawa mereka pulang ke rumah. Dia “tidak memimpin mereka mengikut jalan yang melalui negeri Filistin, walaupun jalan itu lebih pendek (Keluaran 13:17). Sebaliknya Dia membawa mereka mengikuti jalan yang sukar melalui padang gurun. Dalam jangka pendek, ini dapat mengelakkan mereka daripada peperangan (ayat 17), tetapi dalam jangka panjang, Tuhan mempunyai rancangan yang besar bagi mereka.

Tuhan menggunakan masa di padang gurun untuk mendidik dan mematangkan orang Israel yang telah dipanggil untuk menjadi pengikut-Nya. Jalan yang mudah mungkin dapat membawa mereka menuju ke malapetaka, namun jalan yang panjang mempersiapkan bangsa Israel menuju kejayaan untuk memasuki Tanah Perjanjian.

Tuhan kita adalah setia, kita boleh percaya bahawa Dia akan memimpin dan menjaga kita walau apa pun yang kita hadapi. Kita mungkin tidak memahami sebab musabab bagi jalan yang kita sedang lalui, tetapi kita dapat percaya bahawa Dia akan menolong kita bertumbuh dalam iman dan menjadi matang di sepanjang perjalanan hidup.