“Anda dipecat,” adalah kata-kata yang amat memeritkan saya sepuluh tahun yang lalu semasa syarikat tempat kerja saya memberhentikan pekerjaan saya. Pada masa itu, saya berasa terkejut, sebahagian disebabkan saya tiada identiti lain selain daripada menjadi editor. Akhir-akhir ini, saya merasai kesedihan yang sama apabila saya diberitahu bahawa kerja bebas saya akan berakhir. Namun pada kali ini, saya tidak tergoyang, kerana saya telah mengalami kesetiaan Tuhan dan tahu Dia akan menukarkan dukacita saya menjadi sukacita.
Walaupun kita hidup di dunia yang runtuh dan harus mengalami kesakitan serta kekecewaan, Tuhan mampu menukarkan dukacita kita menjadi sukacita seperti nubuat Yesaya tentang kedatangan Yesus (Yesaya 61:1-3). Tuhan memberikan pengharapan ketika kita berasa putus asa; Dia membantu kita mengampuni orang apabila kita berasa diri kita tidak mampu; Dia mengajar kita bahawa identiti kita sebagai anak Tuhan dan bukan pada perkara yang kita lakukan. Dia memberi kita keberanian untuk menghadapi ketidakpastian pada masa hadapan. Apabila kita berasa sedih, dengan lembut Dia memberikan kita lagu pujian.
Ketika kita menghadapi kehilangan, kita tidak seharusnya lari daripada kesedihan, tetapi kita juga tidak ingin menjadi pahit atau keras hati. Apabila memikirkan kesetiaan Tuhan selama ini, kita tahu bahawa Dia sudi dan mampu mengubah kesedihan kita menjadi sukacita. Dia memberi kita rahmat yang secukupnya dalam hidup ini dan sukacita penuh di syurga.