Pada waktu pertengahan hari musim panas, semasa isteri saya dan saya melancong ke Amerika Selatan, kami berhenti untuk membeli aiskrim. Pada dinding di belakang kaunter, kami melihat satu papan tanda yang tertulis, “Dilarang Menaiki Kereta Salji.” Jenaka ini amat lucu dan di luar jangkaan dalam cuaca yang begitu panas.
Kadangkala mengatakan sesuatu yang di luar jangkaan mempunyai kesan yang besar. Fikirkanlah perkara ini dengan mengaitkan pernyataan Yesus: “Sesiapa yang memper-tahankan hidupnya akan kehilangan hidup sejati, tetapi sesiapa kehilangan hidupnya kerana dia pengikut-Ku, akan memperoleh hidup sejati” (Matius 10:39). Dalam kerajaan Tuhan, Raja menjadi hamba (Markus 10:45). Jika kita ingin memperoleh hidup, satu-satunya cara adalah kehilangan hidup. Ini merupakan mesej yang mengejutkan kepada dunia yang mementingkan kebanggaan diri dan perlindungan diri.
Dalam istilah yang praktikal, bagaimana kita boleh “kehilangan hidup”? Jawapannya diringkaskan dalam perkataan ini: pengorbanan. Apabila kita berkorban, kita mengamalkan cara hidup Yesus. Daripada menggenggam kehendak dan keperluan kita, kita mengutamakan keperluan dan kehidupan orang lain.
Yesus bukan sahaja mengajar tentang pengorbanan, malahan Dia juga mengamalkannya dengan mengorbankan diri-Nya untuk kita. Kematian-Nya pada kayu salib menjadi ungkapan yang paling penting dalam hati Raja ini yang hidup menurut kata-kata-Nya sendiri: “Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka” (Yohanes 15:13).