Itu hanya seutas rantai kunci. Lima bongkah kecil yang diikat bersama dengan tali kasut. Anak perempuan saya telah memberikannya kepada saya beberapa tahun yang lalu ketika dia berumur tujuh tahun. Sekarang talinya sudah lusuh dan bongkahnya sudah berkecai, tetapi tulisan itu tidak pernah menjadi kabur: “I ♥ Dad (Saya mengasihi Ayah).”
Hadiah yang paling berharga tidak ditentukan dengan nilainya, tetapi berdasarkan siapa yang memberinya. Tanyalah ibu bapa yang pernah menerima sejambak bunga liar daripada anaknya yang comel. Hadiah yang terbaik bukan dinilai daripada harganya tetapi berdasarkan kasih.
Zakharia memahami nilai ini. Kita mengetahui hal ini daripada lagunya yang bersifat nubuat apabila dia memuji Tuhan kerana dia dan isterinya, Elizabeth dikurniai seorang anak lelaki, sedangkan Elizabeth mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia (Lukas 1:67-79). Zakharia bersukacita kerana Yohanes akan menjadi seorang nabi yang akan mengisytiharkan hadiah terbesar daripada Tuhan kepada semua orang—kedatangan Mesias: “Allah kita pengasih dan penyayang. Bagi menyelamatkan kita Dia akan datang bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang” (Lukas 1:78). Kata-kata ini menunjukkan satu hadiah yang dipenuhi dengan kasih, sehingga ia dapat “menyinari semua orang yang hidup dalam kegelapan dan di bawah bayang maut” (Lukas 1:79).
Hadiah terindah yang dapat kita terima adalah belas kasihan Tuhan—pengampunan dosa kita melalui Yesus. Hadiah tersebut menuntut Dia menuju ke kayu salib, tetapi dengan rela Dia mengorbankan diri kerana kasih-Nya yang besar untuk kita.