Sesetengah kanak-kanak kecil menghadapi masalah untuk masuk tidur pada waktu malam. Terdapat pelbagai penyebab untuk masalah ini, anak perempuan saya menerangkan salah satunya pada suatu malam. “Saya takut akan kegelapan,” katanya. Saya berusaha untuk melegakan ketakutannya, tetapi saya membiarkan sebuah lampu terus menyala di dalam biliknya supaya dia boleh pasti bahawa tidak ada raksasa di dalam biliknya.
Saya tidak berfikir banyak tentang ketakutan anak perempuan saya itu sehinggalah beberapa minggu kemudian, iaitu sewaktu suami saya perlu bermalam di bandar lain dalam suatu perjalanan urus niaga. Selepas membaringkan diri di katil, saya berasa kegelapan malam seperti menghimpit dan menekan saya. Saya terdengar suara halus dan bingkas daripada tidur untuk menyiasatnya. Saya mendapati tidak ada apa-apa tetapi akhirnya saya memahami ketakutan anak perempuan saya apabila saya juga mengalaminya.
Yesus mengerti ketakutan dan masalah kita kerana Dia pernah hidup di bumi ini dan telah mengalami masalah yang kita juga hadapi. “Kita menghina dan menolak dia, dia menderita kesengsaraan dan kesakitan” (Yesaya 53:3). Apabila kita menyatakan pergelutan kita kepada Dia, Dia tidak mengetepikan kita, mengabaikan perasaan kita atau menyuruh kita melupakannya—Dia mengerti tekanan kita. Apabila kita tahu bahawa Dia memahami tekanan kita, ini dapat menghilangkan kesunyian yang sering disertai dengan kesengsaraan kita. Pada masa kehidupan kita yang gelap-pekat, Dia ialah terang dan penyelamatan kita.