Ketakutan menyelinap ke dalam hati saya tanpa sedar. Ia menggambarkan keadaan yang penuh dengan ketidakupayaan dan kekecewaan. Situasi yang mencuri kedamaian dan daya penumpuan dalaman hati saya. Apakah yang saya takutkan? Saya bimbang tentang keselamatan keluarga atau kesihatan orang kesayangan saya. Saya berasa panik akan kehilangan kerja atau hubungan yang terputus. Ketakutan mengalihkan fokus saya terhadap diri saya dan mendedahkan hati saya yang kadangkala sukar untuk mempercayai apa-apa pun.
Apabila ketakutan dan kebimbangan menyerang saya, betapa baiknya untuk membaca doa Daud dalam Mazmur 34: “Aku berdoa kepada TUHAN dan Dia mengabulkan doaku, Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan” (ayat 5). Bagaimanakah Tuhan membebaskan kita daripada segala ketakutan? Apabila kita “memandang Dia” (ayat 6), apabila kita berfokus kepada Dia, ketakutan kita akan pudar; kita percaya bahawa Dia berkuasa atas segala sesuatu. Kemudian Daud menyebutkan sejenis ketakutan yang berbeza—bukan ketakutan yang melumpuhkan seseorang, tetapi penghormatan yang mendalam dan kekaguman akan Peribadi yang mengelilingi dan menyelamatkan kita (ayat 8). Kita boleh berlindung kepada-Nya kerana Dia Tuhan baik (ayat 9).
Kekaguman akan kebaikan Tuhan akan membantu kita mempunyai sudut pandangan yang betul terhadap ketakutan. Apabila kita ingat siapa itu Tuhan dan Dia sangat mengasihi kita, kita boleh berehat dalam kedamaian-Nya. “kerana orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan” (ayat 10), termasuklah Daud. Berbahagialah orang yang mengetahui bahawa dengan takut akan Tuhan, kita boleh dibebaskan daripada ketakutan kita sendiri.