Selepas beberapa minggu pembedahan bahu saya, saya berasa ketakutan. Ini kerana saya telah biasa dengan memakai anduh tangan, tetapi kedua-dua doktor bedah dan juruterapi fizikal menyuruh saya berhenti memakainya. Itulah masanya saya terbaca pernyataan ini: “Pada peringkat ini, jangan pakai anduh melainkan anda ingin menonjolkan kecederaan anda kepada orang lain sekiranya berada dalam persekitaran yang tidak terkawal.”
Betul! Saya takut apabila seseorang yang mesra mungkin ingin memeluk saya atau seseorang rakan akan terlanggar saya secara tidak sengaja. Saya menyembunyikan tangan saya dalam anduh biru muda yang nipis kerana saya takut akan tercedera lagi.
Selain itu, menonjolkan kelemahan kita merupakan sesuatu yang mengerikan. Kita mahu dikasihi dan diterima seadanya, tetapi kita pun berasa takut jika orang lain betul-betul mengenali kita, mereka mungkin akan menolak kita dan kita akan berasa sakit hati. Apakah akan berlaku jika mereka mendapati kita tidak cukup bijak … murah hati … ataupun baik?
Namun, sebagai ahli keluarga Tuhan, kita mempunyai tanggungjawab untuk saling menolong sesama orang percaya bertumbuh dalam iman. Kita digesa untuk “saling menggalakkan dan saling menguatkan” (1 Tesalonika 5:11), dan sentiasa “rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu” (Efesus 4:2).
Apabila kita bersikap jujur dan ikhlas dengan orang percaya yang lain, kita mungkin akan mendapati bahawa kita mempunyai pergelutan yang sama ketika mengatasi pencubaan atau belajar untuk hidup secara taat. Namun yang penting sekali, kita akan berkongsi keindahan rahmat Tuhan, yakni kurniaan-Nya dalam hidup kita.
saling menolong.