Salah satu pernyataan hikmat yang saya hargai adalah pernyataan yang sering diulangi oleh bapa saya, “Joe, sahabat karib adalah salah satu harta yang terbesar dalam hidup.” Memang betul! Dengan adanya sahabat karib, anda tidak bersendirian. Mereka memerhatikan keperluan anda, dan rela berkongsi sukacita dan beban dalam kehidupan.
Sebelum Yesus datang ke bumi, terdapat hanya dua individu yang dipanggil sebagai sahabat Tuhan. “TUHAN berfirman kepada Musa dengan bersemuka, sebagaimana seseorang bercakap dengan sahabatnya” (Keluaran 33:11), manakala Abraham “disebut sahabat Allah” (Yakobus 2:23; lihat 2 Tawarikh 20:7; Yesaya 41:8).
Saya sangat kagum apabila Yesus menjadikan kita yang merupakan milik-Nya sebagai sahabat-Nya: “Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku, kerana Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah Aku dengar daripada Bapa-Ku” (Yohanes 15:15). Persahabatan ini begitu mendalam sehingga Dia mengorbankan nyawa-Nya untuk kita. Yohanes berkata, “Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka” (ayat 13).
Betapa besarnya keistimewaan dan berkat yang kita terima kerana memiliki Yesus sebagai sahabat kita! Dia sahabat yang tidak sekali-kali akan mengecewakan kita ataupun meninggalkan kita. Dia berdoa kepada Tuhan Bapa untuk kita dan membekalkan segala keperluan kita. Dia mengampunkan segala dosa kita, mengerti segala kesengsaraan kita, dan memberi kita rahmat yang secukupnya pada masa kesusahan. Dia betul-betul sahabat karib kita!