Dalam buku Jumping Through Fires (Melompat Melalui Api), David Nasser menceritakan kisah perjalanan rohaninya. Sebelum dia memulakan hubungan dengan Yesus, dia telah berkawan dengan sekumpulan remaja Kristian. Walaupun kebanyakan masa rakan-rakannya itu bersikap murah hati dan saksama, tetapi David melihat salah seorang daripada mereka berbohong kepada teman wanitanya. Dengan rasa bersalah, orang muda itu kemudian mengaku dan meminta maaf daripadanya. Apabila mengimbas kembali, David mengatakan bahawa kejadian itu telah merapatkan hubungannya dengan rakan-rakan Kristiannya. Dia menyedari bahawa rakan Kristiannya memerlukan rahmat Tuhan, termasuklah dia.
Kita tidak perlu bertindak seperti orang yang sempurna di depan orang yang kita kenal. Ia tidak mengapa untuk bersikap jujur tentang kesilapan dan masalah kita. Rasul Paulus secara terbuka mengakui dirinya sebagai orang yang paling berdosa antara orang lain (1 Timotius 1:15). Dia juga menggambarkan pergelutannya dengan dosa dalam Roma 7, “Walaupun ada padaku keinginan untuk berbuat baik, tetapi aku tidak dapat melakukannya” (ayat 18). Sedihnya, seterusnya kenyataan yang bertentangan ini juga adalah benar: “Aku tidak melakukan perkara baik yang ingin aku lakukan, sebaliknya aku melakukan perkara jahat yang tidak ingin aku lakukan.” (ayat 19).
Apabila kita bersikap terbuka terhadap pergelutan yang kita alami, ia menempatkan kita sama tahap dengan setiap individu yang lain—kita tergolong sebagai orang yang berdosa! Walau bagaimanapun, kerana Yesus Kristus, dosa kita tidak akan membelenggu kita selama-lamanya. Bak kata pepatah, “Orang Kristian tidak sempurna, cuma mereka diampuni.”