Emil adalah seorang lelaki yang tiada tempat tinggal dan melepak-lepak sepanjang tahun. Setiap hari dia berjalan di kaki lima di sekitar bandar dengan langkah yang berat dan perlahan, sambil kepalanya tertunduk ke bawah. Dia malu untuk memandang mata orang lain kerana sebenarnya dia bukannya hidup bergelandangan sebelum ini, malah dia takut akan bertemu dengan orang yang dikenalinya. Apatah lagi, dia hanya ingin memungut duit syiling orang lain yang terjatuh di jalan atau puntung rokok yang separuh dihisap. Kebiasaannya yang tunduk ke bawah telah mengakibatkan tulang belakangnya mulai tetap pada kedudukan itu sehingga dia sangat sukar untuk menegakkan badan belakangnya.
Hamba kepada nabi Elisa telah memfokuskan perkara yang salah, maka dia sangat takut akan tentera besar Raja Aram yang telah dihantar untuk menangkap tuannya (2 Raja-Raja 6:15). Namun Elisa tahu bahawa hambanya hanya melihat perkara bahaya dan jumlah musuh yang besar itu. Dia meminta agar Tuhan mencelikkan mata hambanya supaya hambanya dapat melihat perlindungan ilahi yang menaungi mereka, yang jauh lebih besar daripada serangan yang dapat dilancarkan oleh Raja Aram untuk menentang Elisa (ayat 17).
Apabila kehidupan menjadi sukar dan kita berasa tertekan, fikiran kita lebih cenderung tertumpu kepada masalah. Namun penulis surat kepada orang Ibrani ini mencadangkan cara yang lebih baik. Dia mengingatkan kita bahawa Yesus telah menanggung penderitaan yang tidak terbayang untuk pihak kita. Apabila kita menumpukan pandangan kepada-Nya (12:2), Dia akan menguatkan kita.