Apabila guru tatabahasa memanggil Kathleen ke hadapan untuk menganalisis ayat, dia menjadi panik. Ini kerana Kathleen baru berpindah ke sekolah tersebut dan belum pernah belajar tentang tatabahasa. Seluruh kelas mentertawakannya.

Dengan segera guru itu membelanya. “Cikgu pasti Kathleen boleh menulis lebih baik daripada sesiapa kamu dalam masa seminggu!” katanya. Bertahun-tahun kemudian, Kathleen mengingatkan masa-masa itu: “Sejak hari itu, saya mula cuba menulis sebaik yang mungkin kerana kata-kata guru itu.” Akhirnya, Kathleen Parker telah memenangi Hadiah Pulitzer bagi penulisannya.

Yesus juga membela mereka yang tidak berdaya dan lemah, seperti yang dilakukan oleh guru Kathleen. Apabila para pengikut Yesus cuba menjauhkan kanak-kanak daripada-Nya, Dia menjadi marah. “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku,” kata-Nya, “Jangan larang mereka” (Markus 10:14). Dia menjangkau kumpulan etnik yang dihina oleh masyarakat, menjadikan orang Samaria yang baik itu sebagai wira dalam perumpamaan-Nya (Lukas 10:25-37), serta menawarkan harapan sebenar kepada wanita Samaria yang mencari kebenaran di perigi Yakub (Yohanes 4:1-26). Dia melindungi dan mengampuni seorang wanita yang terperangkap dalam perzinaan (Yohanes 8:1-11). Walaupun kita sama sekali tidak berdaya, Kristus memberikan hidup-Nya untuk kita semua (Roma 5:6).

Apabila kita membela orang yang lemah dan terpinggir, kita memberi peluang kepada mereka untuk menyedari potensi mereka. Kita menunjukkan kasih sejati kepada mereka, dan dengan cara yang kecil tetapi penuh bermakna, kita menyatakan kasih Yesus.