Hampir setiap kali apabila malaikat muncul dalam Alkitab, perkataan pertama yang diucapkannya adalah, “Jangan takut” (Daniel 10:12, 19; Matius 28:5; Wahyu 1:17). Kita tertanya-tanya. Apabila sesuatu yang luar biasa berlaku di planet Bumi, biasanya ia menyebabkan orang yang menyaksikan perkara itu kaku dalam ketakutan. Namun Lukas memberitahu kita bahawa Tuhan menampilkan diri di bumi dalam bentuk yang tidak menakutkan. Melalui Yesus yang dilahirkan di palung, Tuhan menggunakan cara terbaik untuk mendekati kita tanpa membuatkan kita berasa takut. Apakah pula yang perlu ditakutkan terhadap seorang bayi yang baru lahir?

Ramai orang melontarkan persoalan apabila Yesus memulakan pelayanan-Nya. Bagaimanakah seorang bayi di Betlehem, seorang anak tukang kayu, menjadi Mesias utusan daripada Tuhan? Namun sekumpulan gembala di padang tidak meragui Dia, kerana mereka telah mendengar khabar gembira itu secara langsung daripada sekumpulan besar malaikat (Lukas 2:8-14).

Kenapa Tuhan perlu mengambil bentuk manusia? Alkitab memberikan banyak sebab, ada fakta-fakta yang kukuh dari segi teologi dan ada yang agak praktikal; tetapi perkara semasa Yesus sebagai remaja mendengarkan guru-guru agama Yahudi dan mengajukan soalan di rumah Tuhan memberi kita satu petunjuk (ayat 46). Buat pertama kali, orang biasa boleh mengadakan perbualan dan perdebatan dengan Tuhan dalam bentuk yang boleh dilihat. Yesus dapat bercakap dengan sesiapa sahaja—ibu bapa-Nya, guru-guru agama Yahudi, balu miskin—tanpa mengatakan “Jangan takut” terlebih dahulu.

Melalui Yesus, Tuhan mendekatkan diri-Nya kepada kita.