Pada suatu malam yang panas, ketika itu saya berumur empat tahun dan berbaring di sisi bapa saya di atas tikar lantai. (Masa itu ibu saya tidur di bilik sebelah untuk menjaga adik saya yang masih bayi.) Cuaca di utara Ghana pada masa itu agak kering. Peluh membasahi badan saya, dan haba yang panas membuatkan tekak saya kering. Saya berasa amat dahaga lalu membangunkan bapa saya. Di tengah-tengah malam yang panas itu, dia bangun dan menuangkan air dari balang bagi menghilangkan dahaga saya. Sepanjang hidup saya, seperti yang dilakukan oleh ayah saya pada malam itu, dia telah memperlihatkan imej seorang bapa yang penyayang. Dia memberikan apa yang saya perlukan.
Sesetengah orang mungkin tidak mempunyai seorang bapa yang baik dalam kehidupan mereka. Namun kita semua mempunyai Bapa syurgawi yang kuat dan sentiasa hadir, malah tidak pernah mengecewakan kita. Yesus mengajar kita berdoa kepada “Ya Bapa kami yang di syurga” (Matius 6:9). Dia memberitahu kita bahawa apabila kita berdepan dengan keperluan harian—makanan, pakaian, tempat tinggal dan perlindungan (ayat 31)—“Bapa kamu mengetahui apa yang kamu perlukan, sebelum kamu memintanya” (ayat 8).
Kita mempunyai Bapa yang sentiasa hadir. Malam atau siang, apabila keadaan menjadi semakin sukar, kita boleh percaya bahawa Dia tidak akan meninggalkan kita. Dia telah berjanji untuk menjaga kita, dan Dia mengetahui apa yang kita perlukan jauh lebih baik daripada apa yang kita perlukan.