Semasa menginap di hotel di sebuah bandar kecil, saya memerhatikan sebuah gereja di seberang jalan sedang mengadakan kebaktian. Orang ramai bersesakan masuk ke dalam gereja di ruang tempat berdiri, sehingga orang muda mahupun orang tua perlu berdiri di kaki lima. Apabila saya melihat kereta jenazah berhenti di susur jalan, saya menyedari bahawa ia adalah upacara pengebumian. Dengan melihat orang ramai itu, saya menyangka bahawa upacara tersebut adalah untuk wira tempatan—mungkin ahli perniagaan kaya ataupun tokoh terkenal. Saya terasa ingin tahu lalu bertanya kepada kerani hotel, “Begitu ramai orang menghadiri upacara pengebumian ini; adakah dia seorang yang terkenal di bandar ini?”

“Tidak,” jawabnya. “Dia tidak kaya atau terkenal, tetapi dia seorang lelaki yang baik.”

Ini mengingatkan saya akan hikmat Amsal yang mengatakan, “Nama baik lebih baik daripada harta yang banyak” (Amsal 22:1). Ini merupakan idea yang baik untuk direnungkan tentang jenis warisan yang akan kita tinggalkan untuk keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga kita. Dari perspektif Tuhan, resume atau jumlah wang kita yang terkumpul bukanlah sesuatu yang terpenting, melainkan gaya hidup yang kita jalani.

Apabila seorang kawan saya meninggal dunia, anak perempuannya menulis, “Dunia ini telah kehilangan seseorang yang benar dan ini merupakan kerugian yang amat besar di dunia ini!” Inilah jenis warisan yang kita patut cari untuk kemuliaan Tuhan.