Selepas berkhemah selama dua tahun di tempat yang berhampiran dengan Gunung Sinai, bangsa Israel kini bersedia untuk memasuki Kanaan—tanah yang telah dijanjikan Tuhan kepada mereka. Tuhan memerintah agar mereka menghantar dua belas pengintip untuk menjelajahi tanah dan mengintip penduduk di situ. Ketika para pengintip melihat kekuatan orang Kanaan serta saiz bandar-bandar tersebut yang amat besar, sepuluh daripada mereka berkata, “Kita pasti kalah!” manakala dua orang pula berkata, “Kita pasti menang!”
Mengapakah ada jawapan yang berbeza?
Ini kerana sepuluh orang tersebut membandingkan raksasa-raksasa itu dengan diri mereka, pastilah raksasa adalah menjulang besar. Namun Kaleb dan Yosua membandingkan raksasa itu dengan Tuhan, maka raksasa itu menjadi kecil sahaja. “TUHAN menyertai kita,” kata mereka, “oleh itu janganlah takut” (Bilangan 14:9).
Sikap yang tidak percaya tidak akan membawa kita mengatasi kesukaran—kota yang sukar ditembusi dan raksasa yang mustahil dikalahkan. Kesemua masalah ini menguasai fikiran mereka, sehingga mereka mengatasi masalah-masalah dengan kekuatan manusia semata-mata.
Sebaliknya, iman mengarahkan pandangan kita kepada Tuhan, namun tidak pernah memandang ringan terhadap bahaya dan masalah yang kita hadapi, malah membantu kita berfokus serta berharap kepada hadirat dan kuasa Tuhan yang tidak kelihatan.
Apakah “raksasa” anda? Adakah ia suatu tabiat yang tidak dapat diputuskan? Godaan yang tidak dapat dilawan? Situasi perkahwinan yang sukar? Anak anda yang menyalahgunakan dadah? Jika kita membandingkan diri kita dengan masalah kita, kita akan sentiasa tertekan. Iman mengalihkan pandangan daripada masalah besar kepada kehebatan Tuhan yang sentiasa hadir dan Maha Kuasa.