Semasa beratur untuk tarikan popular di Disneyland, saya mendapati bahawa kebanyakan orang yang beratur sedang berbual-bual dan tersenyum, bukannya mengadu bahawa mereka telah menunggu lama. Maka saya tertanya-tanya sebab yang menjadikan menunggu dalam barisan itu suatu pengalaman yang menyeronokkan. Kemudian saya memerhatikan, hanya sedikit orang yang bersendirian di sana. Sebaliknya rakan-rakan, keluarga, kumpulan dan pasangan datang ke situ untuk berkongsi pengalaman. Ini jauh berbeza daripada mereka yang berdiri sendirian dalam barisan.
Kehidupan Kristian dimaksudkan untuk hidup berhubung dengan orang lain, bukan hidup bersendirian. Ibrani 10:19-25 menggesa kita hidup dalam masyarakat dengan pengikut-pengikut Yesus yang lain. “Marilah kita hampiri Allah dengan hati yang tulus dan iman yang teguh … Hendaklah kita berpegang teguh kepada harapan yang kita akui, kerana Allah dapat dipercayai dan Dia akan menepati janji-Nya. Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama” (ayat 22-25). Kita sebagai anggota keluarga dalam Kristus diyakinkan dan diteguhkan antara satu sama lain, “menggalakkan satu sama lain” (ayat 25).
Hari-hari kita yang paling sukar pun boleh menjadi perjalanan iman yang bermakna apabila orang lain menemani kita. Janganlah hadapi kehidupan seorang diri. Marilah kita menempuh perjalanan hidup ini bersama.