Apabila kawan saya, Elaine pulih akibat daripada jatuh yang agak teruk, seorang pekerja hospital meletakkan gelang kuning yang terang dengan tulisan, “Risiko Terjatuh” pada pergelangan tangannya. Frasa itu bermaksud: Sila memberikan perhatian kepada orang ini. Dia mungkin tidak dapat berdiri dengan stabil. Bantulah dia pergi dari satu tempat ke tempat lain.
Dalam 1 Korintus 10 terdapat suatu amaran seperti “Risiko Terjatuh” untuk orang percaya. Dengan mengenang sepintas lalu tentang nenek moyangnya, Paulus mengingatkan potensi manusia yang jatuh ke dalam dosa. Orang Israel bersungut, menyembah berhala dan mempunyai hubungan yang tidak bermoral. Maka Tuhan murka terhadap mereka dan mengizinkan mereka mengalami akibat yang disebabkan oleh dosa mereka. Bagaimanapun, Paulus berkata, “Semua perkara itu berlaku kepada mereka untuk menjadi contoh bagi orang lain. Semua itu ditulis untuk menjadi amaran bagi kita … Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh!” (ayat 11-12).
Kita mudah menipu diri kita dengan percaya bahawa kita telah meninggalkan dosa tertentu. Walaupun kita mengalami pergelutan yang paling dahsyat, dengan mengakui dosa kita, bertaubat, dan menyerahkan diri kita kembali untuk mengikut jalan Tuhan—godaan mungkin akan kembali. Namun Tuhan dapat membolehkan kita elak daripada jatuh ke dalam dosa yang sama. Dia melakukannya dengan menyediakan jalan keluar, agar kita tidak mengulangi perbuatan yang berdosa. Tanggungjawab kita adalah menerima tawaran-Nya yang boleh membawa kita lari daripada dosa.