Saya dapat melihat sebuah bukit setinggi 1,700 meter yang dikenali sebagai Cerro del Borrego atau “Bukit Domba” dari tingkap rumah. Pada tahun 1862, tentera Perancis telah menyerang Mexico. Sementara pihak musuh berkhemah di taman pusat Orizaba, tentera Mexico bertapak di bahagian atas bukit. Walau bagaimanapun, jeneral Mexico mengabaikan untuk mengawal orang daripada naik ke atas bukit. Ketika tentera Mexico tertidur, tentera pihak Perancis menyerang dan membunuh seramai 2,000 orang.

Sejarah ini mengingatkan saya tentang sebuah bukit lain, iaitu Bukit Zaitun. Masa itu para pengikut Yesus telah tertidur di Getsemani yang berada di bawah bukit itu. Yesus menegur mereka dan berkata: “Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang roh kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana kamu lemah” (Markus 14:38).

Betapa mudahnya bagi kita untuk tertidur atau menjadi cuai dalam perjalanan Kristian kita. Godaan menyerang pada saat kita paling lemah. Apabila kita mengabaikan bahagian-bahagian tertentu dalam kehidupan rohani kita—seperti doa dan pengajian Alkitab—kita akan menjadi mengantuk dan leka, dan membuatkan kita menjadi sasaran yang mudah bagi musuh kita, Iblis (1 Petrus 5:8).

Kita perlu berjaga-jaga terhadap segala serangan yang mungkin menimpa kita dan berdoa untuk tetap berjaga. Jika kita mengekalkan kehidupan yang berjaga-jaga dan berdoa—bagi kita sendiri dan orang lain—Roh Tuhan akan memberi kita kuasa untuk melawan godaan.